fb fb fb fb fb

SPR Johor siap siaga sebarang situasi banjir menjelang PRU ke-15

JOHOR BAHRU, 21 Oktober - Kesemua 26 pegawai pengurus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15) di Johor bersiap sedia menghadapi banjir sepanjang tempoh penting itu berlangsung.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mereka perlu menggunakan kebijaksanaan masing-masing bagi menentukan gerak kerja ketika banjir di pusat-pusat mengundi.

Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang pada 2011 yang dijalankan semasa banjir akan diguna pakai bagi memastikan segala persiapan PRU-15 tidak terganggu.

Latihan simulasi juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kelancaran proses hari pengundian.

Antara persediaan lain, lima pusat mengundi yang dikenal pasti sebagai lokasi banjir di Pengerang dan Batu Pahat juga sudah ditukar.

"Sekiranya ada halangan kita minta RO berhubung terus dengan SPR dan di situ nanti kita tentukan ada satu seksyen membenarkan SPR buat keputusan, perkara-perkara yang difikirkan sesuai sekiranya ada halangan yang tidak mengizinkan untuk pusat mengundi itu dibuka pada masa yang sepatutnya," kata Dr Azmi kepada RTM selepas menyerahkan writ dan watikah pegawai PRU ke-15 pada Khamis.


(Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani ditemui media selepas
menyerahkan writ dan watikah pegawai PRU ke-15 di Johor Bahru)

Sementara itu, beliau mengingatkan kerajaan negeri dan pegawai pengurus untuk membezakan perkara-perkara melibatkan kempen politik serta urusan kerajaan.

Katanya, Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Ia bagi mengelakkan campur aduk antara urusan kerajaan dan kempen parti.

"Sekiranya majlis rasmi kerajaan, waktu berkempen tidak bolehlah menggunakan peralatan peralatan berkempen parti, lambang parti dan sebagainya dalam hal-hal urusan kerajaan yang meibatkan pegawai kerajaan sewaktu berkempen," tambahnya.

Media Baharu