BAYAN LEPAS, 19 Jun- Geran padanan bakal disediakan kepada syarikat yang ingin membangunkan bakat kemahiran dalam kalangan pekerja.
Ini menerusi kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bagaimanapun berkata, geran padanan itu hanya akan diberikan kepada syarikat yang menggunakan bantuan kewangan bawah Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
Menerusinya, syarikat bukan sahaja menerima bantuan bawah HRD Corp, malah turut mendapat tambahan dana daripada NCIA.
Langkah tersebut diyakini mampu membangunkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan berdaya saing.
"Kalau sesebuah syarikat itu mahu mengambil atau membangunkan kursus yang lebih tinggi, contohnya diploma profesional, mereka bukan saja boleh guna levi HRD Corp, tetapi NCIA akan memberikan geran padanan.
"Ini supaya ia akan menjadikan peruntukan lebih besar untuk membantu syarikat membangunkan kemahiran yang lebih tinggi untuk pekerja itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (NTW), di sini.
Lebih 3.2 juta peserta menyertai NTW dengan lebih 72,000kursus latihan percuma ditawarkan.