KUALA LUMPUR, 19 Jun - Sebanyak 11 teknologi baharu hasil penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan dikomersialkan tahun ini melalui Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) 2025.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi tersebut meliputi bidang bioteknologi, perlindungan tumbuhan, mekanisasi dan automasi, oleokimia serta produk makanan dan bukan makanan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang perniagaan, malah berpotensi merangsang pertumbuhan industri sawit negara secara mampan dan berdaya saing.
"MPOB akan menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan produk mesra alam berasaskan sawit yang boleh menggantikan produk tidak mampan.
Salah satu produk yang sedang dikaji ialah minyak penebat transformer berasaskan sawit, yang kini dipertimbangkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menggantikan minyak berasaskan petroleum dalam rangkaian pencawang elektrik negara.
Minyak transformer berasaskan sawit ini dijangka mempunyai potensi pasaran mencecah AS$287 juta menjelang tahun 2030," katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Johari turut melancarkan dua produk hasil penyelidikan MPOB, iaitu formulasi baja sawit MPOB F6 dan biskut berkhasiat yang diperkaya dengan minyak sawit merah.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum perjanjian (MoA) melibatkan pelesenan dan pengkomersialan teknologi antara MPOB dan rakan strategik.
Ia merangkumi formulasi pelet makanan lembu, produk biokawalan Endophytic Streptomyces spp. Endo88 untuk mengawal penyakit Ganoderma, serta gincu berasaskan sawit.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengalu-alukan penyertaan penyelidik dan usahawan luar yang ingin mengkomersialkan hasil kajian mereka dengan sokongan dan pengesahan daripada MPOB.
"Sebahagian daripada mereka telah mencapai kemajuan sehingga 70%, namun untuk melangkah lebih jauh, mereka memerlukan agensi seperti MPOB untuk mendapatkan pengesahan.
Bagi membolehkan MPOB memberikan pengesahan, penyelidikan perlu diteruskan. Dalam kes ini, mereka memulakan kajian dan MPOB akan melengkapkan baki 30% penyelidikan.
Jika berjaya, ia boleh dikomersialkan. Apabila sesuatu produk diketahui berasal daripada penyelidikan MPOB yang dikenali umum, ia akan meningkatkan keyakinan pasaran terhadap produk tersebut," katanya.