JOHOR BAHRU, 19 Jun- Semua 47 mangsa penipuan pakej haji disaran mengemukakan aduan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata mangsa terlibat boleh membuat tuntukan sehingga RM50,000.
Menurut beliau, TTPM bersedia menilai kes berdasarkan maklumat yang dikemukakan, termasuk jumlah bayaran, janji perkhidmatan ditawarkan serta perkhidmatan sebenar yang diterima.
Bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum menerima aduan rasmi berhubung perkara tersebut.
"Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka, mungkin mereka ingat dengan membuat laporan polis sudah mencukupi.
"Tetapi kita masih sarankan untuk mereka membuat aduan kepada tribunal TTPM, pergi ke cawangan KPDN kalau hendak luahkan perasaan. Kalau secara online (dalam talian) tidak dapat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan bersama Pemain Industri, dekat sini.