JOHOR BAHRU, 8 Mei- Gerakan Koperasi Negeri Johor menyasarkan perolehan sebanyak RM800 juta, tahun ini.
Ia melibatkan 1,462 koperasi berdaftar dengan 463,000 ahli.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan petunjuk prestasi baik tahun lalu, dengan peningkatan perolehan 5.6 peratus, berbanding 2021.
Ketika ini, gerakan koperasi negeri mempunyai jumlah syer dan yuran terkumpul sebanyak RM330 juta serta aset bernilai RM1.35 bilion.
"Ini menunjukkan satu drastik yang cukup baik dan tahun ini saya berangggapan daripada RM714 juta akan meningkat lagi dan pendapatan koperasi Johor meningkat pada kadar 5.6 peratus.
"Yang mana sebelum ini pendapatan koperasi yang disasarkan sebanyak RM1 bilion pada tahun 2021 dan 2020 mencapai RM970 juta," katanya.
(Mohd Hairi Mad Shah)
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Amanat bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor, di sini hari ini.
Sebanyak 36 koperasi menerima sijil pengiktirafan pada majlis itu.
Enam daripadanya tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia.
Manakala baki 30 koperasi tersenarai dalam 350 koperasi terbaik daripada 15,315 koperasi seluruh negara, tahun lalu.