fb fb fb fb fb

Dasar Mineral Negara akan dibangunkan dalam tempoh tiga bulan

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MMN2 di Putrajaya/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 8 Mei- Dasar Mineral Negara akan dibangunkan dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ia bagi mengurus mineral negara secara mampan dengan mengimbangi antara keperluan sektor ekonomi dan pendapatan negara, disamping memastikan kemampanan alam sekitar terpelihara.

Jelasnya dasar itu akan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti perlombongan khususnya membabitkan nadir bumi.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)

"Pada masa yang sama kita perlu kuatkuasakan dalam konteks penguatkuasaan kepada banyak aktiviti perlombongan haram  yang sedang berjalan di seluruh negara.

"Ini bukan saja merugikan negara terutama pendapatan kerajaan negeri yang hilang pendapatan disebabkan perlombongan haram tetapi juga ianya boleh menjejaskan alam sekitar disebabkan ketidakpatuhan SOP yang telah dibangunkan", katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di Putrajaya.

Tambahnya hasil mineral berpotensi menyumbang kepada pendapatan negara dengan nilai rizab ketika ini berjumlah sekitar RM4 trilion.

Media Baharu