fb fb fb fb fb

Genting Highlands kearah destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa

Rancangan Kawasan Khas (RKK) Genting Highlands, Bentong, Pahang melibatkan keluasan 6,339.85 hektar

BENTONG, 28 Mei - Wajah baharu Genting Highlands yang bakal diterjemahkan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Genting Highlands melibatkan keluasan 6,339.85 hektar menjadikan destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari.

Kajian RKK itu disediakan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang dan dibantu PLANMalaysia Semenanjung Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tahun lalu Genting Highlands mencatatkan kehadiran pelancong tertinggi iaitu 8.14 juta daripada jumlah keseluruhan pelancong ke negeri Pahang seramai 13.2 juta.

"Apa yang utamanya apa yang kita laksanakan hari ini memikirkan matlamat lebih lestari, pelancongan tanah tinggi yang bertaraf antarabangsa, sebab itu kita hendak kawal supaya pembangunan itu lebih terkawal dan menjadi destinasi yang boleh menarik lebih ramai lagi pelancong-pelancong datang ke negara ini," kata Fakhruddin.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena perasmian program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Genting Highlands, di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai V.Arumugam.

Jelasnya, kajian itu menitikberatkan tiga aspek iaitu kawasan pelancongan tanah tinggi, keperluan kawalan perancangan yang komprehensif serta kepentingan flora dan fauna.

Kajian tersebut disediakan bawah peruntukan Seksyen 16B, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang perlu memperincikan polisi, dasar dan strategi pemajuan iaitu Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Bentong Pahang 2035 (Penggantian).

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai agar tidak melepaskan peluang menyertai program publisiti tersebut yang bermula sejak 2 Mei hingga 3 Jun depan.

Orang ramai berpeluang melakukan semakan di kaunter Jabatan Perancangan Bandar di Majlis Perbandaran Bentong (MPB) iaitu di ruang legar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang ataupun melalui pautan di portal MPB sendiri.

TETITIA YUSOFF