(Foto BERNAMA)
KULAI, 3 Mac- Syarikat telekomunikasi (telco) diarah menyediakan peralatan jana kuasa mudah alih atau generator di kawasan ‘hotspot’ banjir di negeri-negeri terjejas bencana itu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata langkah itu bagi mengelak kawasan terjejas banjir mengalami gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
"Jika elektrik terputus dan mereka tidak mempunyai peralatan tersebut, menara telekomunikasi turut tidak akan berfungsi. Pihak kami telah mengenal pasti kawasan terjejas banjir dengan kerjasama syarikat telco untuk memastikan menara berkenaan berfungsi sebaiknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telco bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi tidak terputus.
Setakat ini, Chaah di Segamat dan Kampung Peta di Mersing mengalami gangguan perkhidmatan berkenaan.
(Foto BERNAMA)