fb fb fb fb fb

Generasi muda perlu disematkan semangat patriotisme yang tinggi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR, 4 November- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah generasi muda dan belia perlu disematkan semangat patriotisme yang tinggi untuk sentiasa berdiri teguh menjulang prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.

Seri Paduka bertitah nilai-nilai demokrasi yang mempertahankan identiti bangsa, agama, kedaulatan negara dan keluruhan perlembagaan juga perlu diterapkan agar tanah air tidak tergadai kepada kuasa asing.

Titah Baginda, ia mengambil iktibar peperangan antara Palestin dan Israel sehingga telah meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa.

"Rakyat Malaysia perlu mensyukuri serta menginsafi akan hakikat nikmat keamanan dan kebebasan yang dikecapi negara ketika ini, tidak boleh dicemari dengan pelbagai polemik sehingga akhirnya menyemarakkan api permusuhan.

"Sesungguhnya sengketa dan peperangan akan hanya meleburkan impian dan turut menghancurkan masa hadapan sesebuah negara sehingga akhirnya mengundang kemusnahan kepada umat sejagat", titah Baginda dalam Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Kuala Lumpur 2023 di ibu negara.

Pada majlis tersebut, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan Anugerah Khas Ulul-Albab kepada Izihar Amri Saari Al-Hafiz, graduan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Udara (Kepujian) dalam Mekanikal dari UnikL Malaysian Institute of Aviation Technology.

Anugerah yang julung kali diadakan itu bertujuan mengiktiraf pencapaian para graduan program Huffaz Professional UniKL yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran, dan lulus ujian hafazan serta menerima Sijil Tahfiz Malaysia dari Darul Quran JAKIM.

Turut hadir semasa sesi pertama majlis ini ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Dato' Sri Ramlan Dato' Haron, serta barisan Pro Canselor UnikL , Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki.

ROSLINA BINTI DIN