
KUALA LUMPUR, 16 September – Generasi muda perlu diberi peluang lebih luas untuk memahami, menghayati dan mengekspresikan tradisi mengikut perkembangan zaman.
- Penglibatan aktif golongan muda penting untuk memastikan warisan seni dan budaya terus hidup, berkembang dan kekal relevan merentas generasi.
- Generasi muda tidak perlu menghayati tradisi sama seperti terdahulu; yang penting mereka fahami asal usul dan temui alasan sendiri untuk meneruskannya.
- Kerajaan menyokong organisasi kebudayaan melalui geran untuk program bermanafaat kepada masyarakat; penyatuan tradisi mencerminkan keunikan serta keharmonian budaya Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penglibatan aktif golongan muda penting bagi memastikan warisan seni dan budaya tempatan terus hidup, berkembang serta kekal relevan merentas generasi.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Akhbarnya, Ross Sia Wan Teng pada Malam Budaya Pesona Malaysia, di sini.
“Jika generasi seterusnya hanya mengenali budaya tradisional semasa perayaan atau sambutan ulang tahun, jurang antara mereka dengan warisan mereka akan terus melebar.
“Mereka memerlukan peluang untuk mengambil bahagian, belajar, mencipta dan mencari cara baharu untuk mengekspresikan apa yang mereka warisi,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Tiong berkata, usaha memelihara tradisi tidak bermakna generasi muda perlu menghayatinya dengan cara yang sama seperti generasi terdahulu.
“Mereka tidak semestinya perlu merasai tradisi itu secara tepat seperti mana generasi terdahulu merasainya.
“Apa yang penting ialah mereka memahami dari mana ia bermula dan mencari alasan mereka sendiri untuk terus membawanya ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan terus menyokong organisasi kebudayaan menerusi pembiayaan di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi membantu pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Jelasnya, penyatuan pelbagai tradisi dan persembahan dalam satu pentas turut mencerminkan keunikan Malaysia yang dibina atas sikap saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya sebagai identiti bersama.