PUTRAJAYA, 25 Februari- Gegaran turut dirasai di bangunan-bangunan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya, susulan gempa bumi yang melanda Sumatera, Indonesia.
Antara kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Mazlan Abdul Mutalib berkata situasi panik berlaku selepas gegaran itu dan kakitangan diarah mengosongkan bangunan serta turun ke kawasan lapang berhampiran.
"Ini melibatkan keselamatan dan SOP dan arahan yang telah diberikan ialah untuk mematuhi SOP dan juga beratur dan prosedur kita ialah memastikan kesemua pegawai telah pun turun dan kemudian mereka ditempatkan di tempat yg luas dan setelah itu kita mengambil kedatangan untuk memastikan semua telah turun," katanya.
(Mazlan Abdul Mutalib menceritakan kepada pemberita situasi semasa gegaran)
Sementara itu, salah seorang penjawat awam, Imran Ariff Mohd Amin yang menghadapi situasi gegaran itu berkata, dia dan rakan-rakan bergegas turun dan keluar dari pejabat mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya terus hubungi isteri saya di Pulau Pinang..dia pun cakap dia rasa juga, jadi ini bukan benda kecil dan kita ambil langkah berjaga-jaga. Sampai sekarang pun kena berhati-hati.Saya di tingkat 29, jadi memang rasa gegaran tu. Ini pertama kali berlaku jadi memang situasi amat panik,"kata Imran.
(Imran Ariff, antara penjawat awam yang berkongsi suasana panik sewaktu gegaran)
Dalam perkembangan sama, kenyataan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad menyebut 16 panggilan kecemasan diterima di Putrajaya susulan gegaran tersebut.