fb fb fb fb fb

Bazar Kebun Komuniti Bandar diteruskan, berskala besar

KUALA LUMPUR, 25 Februari - Program Pertanian Bandar yang dilaksana di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk bandar dengan penghasilan bahan makanan sendiri.

Buat julung kalinya juga Bazar Kebun Komuniti Bandar dianjurkan yang bakal diteruskan dengan skala lebih besar.

Program yang bakal dimasukkan dalam kalendar aktiviti Hari Wilayah Persekutuan itu juga merupakan platform kepada warganya memasarkan barangan inovasi pertanian yang begitu unik.

Buat permulaan 12 gerai terlibat dengan antara produk masing-masing termasuk sayur-sayuran, ulam-ulaman dan produk hiliran seperti madu kelulut, cincau dan kerepek bayam Brazil.

Program seperti ini, akui Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar, dapat memperkasa komuniti bandar, mengoptimumkan tanah atau ruang persekitaran melalui aktiviti berkebun.

"Kita bagi sedikit modal untuk mereka buat kebun bandar cara fertigasi, tepi sungai. Tetapi selepas itu, kita nak lebih daripada itu. Kita nak mereka jadikan itu satu perniagaan. Bukan hanya untuk makanan asas mereka, kita beri mereka latihan untuk berniaga juga dan bagaimana nak menghasilkan produk-produk mereka supaya menarik untuk dijual," kata Rosida di sini.

(Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar, bercakap kepada pemberita mengenai Program Pertanian Bandar di Putrajaya)

Peranan serta khidmat nasihat agensi kerajaan juga menjadi batu loncatan bagi mempergiatkan aktiviti pertanian bandar malah menggalakkan penyertaan lebih ramai warga Wilayah Persekutuan.

"Kita bersyukur kita dapat bantuan dan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan yang lain seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian yang memberi kerjasama yang amat menggalakkan bermulanya Program Kebun Komuniti ini pada 2012 lagi, dan saya amat bersyukur dengan agensi kerajaan yang lain," Menurut Pengarah Bahagian Hortikultur dan Pertanian Bandar Perbadanan Putrajaya, Mustafa Kamal Ismail.

"Antaranya memberikan khidmat nasihat dari segi penjagaan tanaman, cara pembajaan dan yang paling penting kita menggalakkan kebun kebun komuniti di Putrajaya ini, untuk menghasilkan satu kebun satu produk. Jadi Jabatan Pertanian pun berikan khidmat nasihat teknikal kepada mereka ini lah," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian, Muhamad Adli Salihin Samsudin.

(Terdapat 15 kebun komuniti bandar di Putrajaya)

Pelaksanaan Projek Kebun Komuniti Bandar berjaya menggalakkan warga Wilayah Persekutuan mengamalkan gaya hidup hijau menerusi aktiviti bercucuk tanam.

Secara tidak langsung, inisiatif pertanian bandar bukan sahaja menjadikan kawasan perumahan dalam bandar lebih indah dan kehijauan, malah membantu menjana ekonomi warga wilayah.

 

Laporan Adliyah Habibullah.




Media Baharu