(Foto FB Anwar Ibrahim)
ANKARA, 15 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua mata bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan di sini hari ini, bagi menzahirkan solidariti Malaysia susulan kejadian gempa bumi yang meragut lebih 41,000 nyawa termasuk di Syria.
Perkembangan itu dimaklumkan perdana menteri menerusi Facebook rasminya sebentar tadi.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Duta Malaysia Ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
"Saya menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dari malapetaka gempa," katanya.
Anwar turut menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia kepada Erdogan dan memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak Kerajaan Malaysia.
"Bersama kita mendoakan agar perisitiwa duka ini cepat berlalu dan Turkiye kembali pulih," katanya.
(Foto FB Anwar Ibrahim)