fb fb fb fb fb

Gempa bumi: Malaysia hantar 142 anggota penyelamat ke Turkiye

(Foto Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia)

PUTRAJAYA, 12 Februari- Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat serta dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Wisma Putra berkata anggota terbabit terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala K9 adalah milik JBPM.

“Hasil kerjasama rapat antara semua agensi kerajaan dengan perwakilan Malaysia di Ankara dan Istanbul, pasukan Malaysia yang diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjadi antara SAR terawal tiba di lokasi kejadian iaitu di Gaziantep.

"Pasukan penyelamat Malaysia juga merupakan pasukan SAR pertama dari negara ASEAN yang tiba di lokasi insiden," katanya menerusi kenyataan.

Wisma Putra turut memaklumkan Malaysia telah membuka Hospital Medan Malaysia (HMM) kategori tiga di Celikhan, Adiyaman, yang dikendalikan ATM.

Antara kejayaan besar pasukan Malaysia adalah penemuan lima mangsa yang terselamat walaupun selepas lebih 129 jam (lima hari) kejadian tersebut.

Berdasarkan maklum balas daripada Pasukan Malaysia di Gaziantep, antara barang-barang yang diperlukan oleh mangsa terselamat adalah seperti khemah musim sejuk, selimut tebal dan pemanas.


(Foto Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia)

Media Baharu