fb fb fb fb fb

Perlis akan guna SMED, pacu sistem pendigitalan sepenuhnya

KANGAR, 12 Februari - Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis akan menggunakan alat Smart Mobile Enforcement Device (SMED) untuk memeriksa butiran maklumat pemandu dan kenderaan ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.

Ini selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan mengenai inisiatif Lesen Kenderaan Motor Digital ( e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang merupakan usaha memacu sistem pendigitalan sepenuhnya pihak JPJ.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah memaklumkan, pihaknya tidak akan mengeluarkan notis saman bagi kesalahan gagal mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan sepanjang operasi dilaksanakan.

Sebaliknya, JPJ Perlis akan memberi nasihat dan advokasi kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan di negeri ini berkaitan pelaksanaan inisiatif baharu JPJ.

Beliau memaklumkamnya ketika mengetuai OPS Khas Bersama Pengarah di Sekatan Jalan Raya (SJR) KM 5.6 Jalan Kangar - Kodiang.

(FOTO FAIL)

Sepanjang operasi pagi itu, JPJ hanya mengesan dua buah kereta yang tidak mempamerkan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada cermin kenderaan mereka .

Anggota Penguatkuasa JPJ Perlis menggunakan alat SMED untuk memeriksa butiran maklumat kenderaan tersebut dan hasil semakan mendapati LKM tersebut masih berkuatkuasa.

Operasi Khas melibatkan 20 orang pegawai dan anggota penguat kuasa telah mengeluarkan sebanyak 51 notis saman bagi pelbagai kesalahan dan dua buah motosikal telah disita kerana kesalahan LKM tamat tempoh melebihi satu tahun.

Media Baharu