KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan mengalami kecederaan atau menerima kesan secara langsung, setakat ini susulan kejadian gempa bumi yang melanda Wilayah Herat, Afghanistan pada 7 Oktober 2023.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menerusi satu kenyataan.
Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada kerajaan serta rakyat Afghanistan yang terjejas akibat bencana itu.
Gempa bumi itu telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan ribuan orang lagi cedera serta kemusnahan harta benda dan infrastruktur awam.
(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir/Foto Fail)
"Rakyat Malaysia menzahirkan solidariti kepada rakyat Afghanistan pada waktu yang sukar ini.
Ingatan dan doa ikhlas rakyat Malaysia adalah bersama-sama, khususnya kepada mereka yang terkesan dengan bencana ini," kata kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan atau urusan konsular, boleh mendapatkan perkhidmatan itu melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.