PETALING JAYA, 25 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) merekodkan 20 gempa bumi bermagnitud skala kecil susulan gempa bumi dilaporkan berlaku di Utara Sumatra, Indonesia pada pukul 9:39 pagi tadi.
Menurut Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, kekuatan gegaran susulan yang berlaku ada yang mencecah sehingga 5.1 skala Richter setakat tengah hari tadi.
"MET akan terus memantau keadaan ini serta menjangkakan lebih banyak gegaran susulan yang berlaku selepas ini," katanya kepada RTM.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikal, MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata gegaran susulan ini tidak dirasai di negara kita.
"Kelazimannya kalau selepas gempa bumi kuat, akan berlaku gempa susulan skala lebih kecil dan tidak berbahaya," katanya di ibu pejabat MET di sini, hari ini.
Katanya lagi, sejak gegaran yang dirasai pada 9.39 pagi tadi, pihaknya menerima beribu-ribu panggilan dari orang awam.
(Perisian SeisComp3 yang membantu dalam pemantau aktiviti gempa bumi di seluruh dunia/Foto Asyraf Ishak)
"Pihak MET menerima panggilan dari utara, Pulau Pinang sehingga ke Johor dan kita akan melihat maklumat mereka susulan gempa kali ini.
"Kami juga menerima maklumat dakwaan terdapat beberapa bangunan mengalami kerosakan dan kontenta-kontena juga didapati terbalik di Pelabuhan Klang," katanya.
Menurutnya, mengimbau kembali gegaran paling kuat dirasai ialah pada tahun 2004 apabila gempa bumi melanda wilayah Aceh, Indonesia sehingga mengakibatkan tsunami.
"Namun, kali ini sebab kejadian berlaku di atas daratan jadi kita tak jangka akan berlakunya tsunami dan untuk kesan impak kena tengok dari segi struktur bangunan," ujarnya lagi.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan mengambil langkah untuk berjaga-jaga dan tidak berada di kawasan atau bangunan yang berisiko terjejas sekiranya berlaku kejadian gempa bumi
Awal pagi Jumaat, gempa bumi berukuran 6.1 pada skala richter dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8.39 pagi waktu tempatan atau 9.39 pagi waktu Malaysia pada kedalaman 10 kilometer di Utara Sumatera kira-kira 76 kilometer barat laut dari Payakumbuh, Indonesia.