REMBAU, 23 Jun- Gelombang baharu jangkitan COVID-19 di negara ini dijangka berlaku lebih awal daripada jangkaan dua hingga tiga bulan akan datang berdasarkan peningkatan kes harian.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, negara bersedia menghadapinya.
Beliau menegaskan, kenyataannya itu bukan untuk menakutkan rakyat tetapi lebih kepada langkah pencegahan supaya dapat mengawalnya ketika fasa peralihan ke endemik kini.
“Saya rasa mungkin gelombang itu lebih awal berdasarkan kepada ramalan yang kita sedang buat, contohnya hari ini, kes sudah melebihi 2,700 kes, sebelum ini paras kita 1,000 hingga 2,000 kes tetapi sejak dua tiga hari ini, kes melebihi 2,000.
Selain itu kes meningkat dengan dua kluster baharu dan semua negeri menunjukkan peningkatan kes, kecuali di Selangor, Johor, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan menunjukkan sedikit penurunan,” katanya selepas merasmikan perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan ‘Makmal Tidur’ di Hospital Rembau di sini.
(Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan)
Beliau sekali lagi menyarankan warga emas berusia 60 tahun ke atas agar mengambil dos penggalak vaksinasi COVID-19 sebagai persediaan menghadapi gelombang seterusnya.
Media sebelum ini melaporkan Khairy berkata gelombang baharu diramalkan akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
“Walaupun sudah masuk ke fasa peralihan, COVID-19 belum berakhir masih ada dengan kita, ini kita perlu lalui.
Sebab itu banyak langkah-langkah pencegahan kesihatan awam masih dikekalkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu Khairy berkata tiada jangkitan kes cacar monyet dilaporkan dalam negara setakat ini.