Gegaran gempa Sabah hanya skala lemah

Foto fail

KUALA LUMPUR, 24 Februari– Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik susulan gempa bumi kuat berskala 6.8 dengan kedalaman 678 kilometer (km) yang berlaku di perairan Kota Kinabalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gegaran dinilai lemah merangkumi seluruh Sabah dan utara Sarawak menurut analisis MetMalaysia.
  • Tidak berisiko tsunami kerana gempa terlalu dalam dan tidak mengganggu dasar laut.
  • Risiko kerosakan bangunan rendah namun gegaran mungkin lebih kuat di kawasan tanah lembut.
  • Agensi berkaitan memantau gempa susulan, memperkukuh kod bangunan dan menegah penyebaran berita palsu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata maklumat terkini menunjukkan impak kejadian adalah minimal.

Arthur berkata analisis sistem peta gegaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan intensiti gegaran hanya berada pada skala lemah, merangkumi seluruh Sabah dan utara Sarawak.

“Walaupun gegaran boleh dirasai di Sarawak dan Semenanjung Malaysia kerana kedalamannya di zon mantel, kesannya di permukaan bumi adalah lemah dan risiko kerosakan bangunan secara amnya rendah.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menegaskan tiada risiko tsunami memandangkan kedudukan gempa yang terlalu dalam, sekali gus tidak menyebabkan gangguan atau anjakan besar pada dasar laut.

“Penduduk di pesisir pantai tidak perlu bimbang tentang ancaman tsunami buat masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Arthur berkata kejadian ini berbeza dengan gempa Ranau 2015 yang bersifat cetek, kerana gempa kali ini berlaku jauh di bawah kerak bumi akibat pergerakan plat lautan.

“Secara amnya, risiko kerosakan bangunan adalah rendah. Walau bagaimanapun, gegaran mungkin lebih dirasai di kawasan tanah lembut,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kod bangunan tahan gempa terus diperkukuh demi keselamatan semua.

“Saya ingin menegaskan bahawa keadaan adalah terkawal. Fenomena ini membuktikan bumi Sabah aktif secara geologi, namun kejadian tersebut tidak membawa ancaman besar kepada keselamatan awam.

“NRES melalui agensi di bawahnya sentiasa memperkukuh keberkesanan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memastikan makluman ancaman bencana dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh,” katanya.

Menurut Arthur, MetMalaysia akan terus memantau sebarang gempa susulan dan memaklumkan perkembangan terkini.

“Rakyat dimohon agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran kerana pihak JMG, MetMalaysia dan NADMA sentiasa memantau keadaan 24 jam sehari,” katanya.- BERNAMA