KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Zhejiang Geely Holding Group Co.Ltd.(Geely) merancang meningkatkan pelaburannya termasuk memperkukuh Malaysia sebagai hab pengeluar kenderaan bagi tujuan eksport.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di laman Facebooknya memberitahu, ia komitmen syarikat itu selepas pelaburan berjumlah RM32 bilion yang diumumkan pada Mac hasil lawatan rasminya ke China.
Tambahnya Geely, akan turut meningkatkan penyertaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Geely, Li Shufu dan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini di Putrajaya.
Geely merupakan gergasi automotif dunia dan juga rakan kongsi strategik konglomerat Malaysia, DRB-HICOM.
(FOTO FB anwaribrahimofficial)