fb fb fb fb fb

GCC-ASEAN komited perkukuh kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang

Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN komited untuk memperkukuh kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang bagi menghadapi cabaran global serta meningkatkan potensi ekonomi serantau.

Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah bertitah, GCC kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan nilai perdagangan mencecah AS$130.7 bilion pada 2023.

"Kita menyaksikan perkembangan yang semakin meningkat dalam hubungan kita, terutamanya dari segi keserasian ekonomi dan kita berharap dapat meningkatkan lagi angka ini melalui kerjasama politik.

"Kita mengakui bahawa adalah penting untuk memperkukuh hubungan kita dalam bidang ekonomi, politik dan keselamatan, serta meningkatkan perdagangan antara negara-negara kita bagi memberi lebih banyak peluang pelaburan untuk disokong", titah Baginda semasa pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sasaran baharu ditetapkan bagi meningkatkan jumlah itu kepada AS$180 bilion menjelang 2032.

Baginda turut menekankan kepentingan meneruskan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi serta kesenian, selain menyambut baik rundingan perdagangan bebas antara kedua-dua blok.

Sidang kemuncak itu dilihat penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dan membina perkongsian strategik yang berasaskan kepentingan bersama serta pembangunan mampan.

Menyentuh isu Palestin, GCC menyeru kerjasama berterusan dengan ASEAN dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

GCC turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Selain itu, GCC juga mencadangkan agar tahun 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Budaya GCC-ASEAN yang akan merangkumi pelbagai program kerjasama budaya serta inisiatif melibatkan belia dan wanita dalam latihan dan keusahawanan.

GCC ditubuhkan pada 1981 dan beribu pejabat di Riyadh serta dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

ROSLINA BINTI DIN