fb fb fb fb fb

Bekalan lembu korban di Negeri Sembilan mencukupi

FOTO HIASAN / BERNAMA

SEREMBAN, 27 Mei- Permintaan terhadap lembu korban di Negeri Sembilan ketika ini dilaporkan stabil, dengan bekalan yang mencukupi bagi keperluan ibadah korban menjelang Aidiladha tahun ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, orang ramai disarankan untuk mendapatkan bekalan lembu korban daripada penternak tempatan bagi menyokong ekonomi setempat.

"Setakat ini, Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan lembu. Harga lembu korban juga tidak menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Berdasarkan saiz dan berat, harga lembu korban kini berada dalam lingkungan RM4,500 hingga RM6,500," katanya.

Beliau turut menekankan agar pelaksanaan ibadah korban di Negeri Sembilan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Datuk Seri Jalaluddin berkata demikian selepas menghadiri Program Pemerkasaan Wanita Port Dickson yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.

Menerusi program tersebut, seramai 152 usahawan wanita daerah Port Dickson didedahkan dengan maklumat terkini berkaitan latihan, pembangunan perniagaan, kemudahan pembiayaan, serta penyediaan premis perniagaan.

Kerajaan negeri turut menyasarkan penubuhan 20 usahawan wanita baharu setiap tahun di setiap daerah bagi memperkukuh peranan wanita dalam ekonomi negeri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE