fb fb fb fb fb

Garisan ‘glow in the dark’ di laluan Jeli-Gerik dikaji

Alexander Nanta Linggi (tiga kanan)

JELI, 6 Januari- Garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ sedang dikaji oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dipasangkan di laluan Lebuhraya Timur-Barat Jeli-Gerik.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kajian tersebut akan turut melihat aspek kemampuan kewangan.

Difahamkan, kos pemasangan garisan 'glow in the dark' agak mahal berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.
 
"Kita dapat maklum balas daripada pengguna, mereka kata itu yang bagus, cuma buat masa ini kosnya mahal berbanding kaedah konvensional yang kita pakai sekarang.

"Kalau tak silap kos (garisan glow in the dark) RM749 untuk satu meter persegi, berbanding (cat) hanya RM40," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau projek baik pulih kesan runtuhan tanah di laluan Dabong-Jeli di Kampung Kubur Datu, sini.

Terdahulu, media melaporkan garisan 'glow in the dark’ pertama di negara ini akan dibina di Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat di Selangor.

Projek perintis oleh JKR Hulu Langat itu dilaksanakan bagi mewujudkan pemanduan lebih selamat ketika waktu malam dan keadaan gelap.

SITI AISHAH BINTI MD ISA