fb fb fb fb fb

Garis panduan khas perkukuh pengendalian kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

Azalina Othman Said

PUTRAJAYA, 24 Oktober- Kerajaan hari ini memperkenalkan garis panduan khas yang bertujuan memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, garis panduan itu menekankan empat aspek utama termasuk siasatan beretika, prosedur mahkamah mesra kanak-kanak, pelantikan pendamping guaman atau penyokong saksi serta sokongan psikososial dan pemulihan pasca perbicaraan.

"Empat komponen utama ini dibangunkan hasil sesi libat urus dan bengkel bersama pelbagai agensi antara Januari hingga Ogos lalu. Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap peringkat siasatan dan perbicaraan dijalankan secara beretika, meminimumkan trauma terhadap mangsa dan memelihara kepentingan terbaik kanak-kanak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran garis panduan khas pengendalian kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2015 di Istana Kehakiman hari ini.

Beliau berkata, walaupun garis panduan tersebut belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia menjadi asas penting dalam penyelarasan amalan terbaik di seluruh agensi penguat kuasa dan badan kehakiman, serta membuka ruang ke arah pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa akan datang.

Azalina menegaskan, pelaksanaan garis panduan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk mewujudkan sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan, profesional dan berpaksikan kepentingan kanak-kanak, sejajar dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menuntut setiap kanak-kanak dilindungi daripada penderaan dan eksploitasi

SITI AISHAH BINTI MD ISA