fb fb fb fb fb

ASEAN mantapkan ekosistem inovasi, lancar laporan strategik menuju 2035

Datuk Seri Mohamad Hasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - ASEAN mencatatkan tonggak penting dalam usaha memperkukuh kedudukannya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi serantau dengan pelancaran Laporan ASEAN KE HADAPAN: ASEAN Sains, Teknologi, Tinjauan Inovasi Ekosistem 2035 dan Melangkau, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, laporan itu diiktiraf sebagai teras kepada Pelan Tindakan ASEAN mengenai STI (APASTI) 2026-2035.

Ia menyediakan rangka strategik dan senario masa depan untuk membolehkan ASEAN bertindak proaktif dalam menghadapi gagguan global dengan memperkukuh kerjasama serantau dalam inovasi dan pembangunan.

"Laporan ASEAN Ahead menunjukkan tren, cabaran, dan peluang dalam sains, teknologi, dan inovasi untuk 10 tahun akan datang. Laporan ini juga mencadangkan cara supaya STI dapat menjadi pemacu ekonomi dan menyumbang kepada kemakmuran ASEAN.

"Dengan cara ini, kemajuan ASEAN akan dibuat berdasarkan pilihan, bukan kebetulan. Ia berpandukan pengetahuan, dipacu oleh inovasi, dan menuju masa depan yang inklusif serta lestari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Asean berkenaan Keterangkuman dan Kemampanan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Laporan itu dibangunkan bawah kepimpinan ASEAN Foresight Alliance dan diterajui Akademi Sains Malaysia (ASM) melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI