fb fb fb fb fb

ASEAN kekal berpegang pada lima konsensus dalam tangani krisis Myanmar

Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri sesi Perbincangan Tidak Formal Lanjutan mengenai Five-Point Consensus sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - ASEAN menegaskan pendirian untuk terus berpegang kepada Five-Point Consensus sebagai asas utama dalam menangani krisis di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu ditekankan dalam Sesi Rundingan Lanjutan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Luar ASEAN berlangsung di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

"Perbincangan asas untuk membantu Myanmar kembali kepada keadaan normal mesti berpandukan Konsensus Lima Perkara. Konsensus ini bukanlah sesuatu yang sukar kerana apa yang kita tekankan adalah keperluan mengadakan dialog, membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan, serta pelaksanaan langkah-langkah lain yang telah dipersetujui," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Perbincangan Tidak Formal Lanjutan mengenai Five-Point Consensus sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ASEAN mahu memastikan pelaksanaan bantuan kemanusiaan di Myanmar dapat disalurkan tanpa sekatan, memandangkan banyak bantuan sebelum ini gagal sampai ke kawasan terjejas akibat halangan pihak tertentu.

Selain isu kemanusiaan, mesyuarat turut membincangkan kegiatan jenayah rentas sempadan yang semakin meruncing dan memberi kesan kepada negara anggota. ASEAN menuntut supaya kerajaan Myanmar serta pihak bertelagah segera menghentikan permusuhan terhadap rakyat sendiri dan mengembalikan keamanan negara itu.

Datuk Seri Mohamad turut menegaskan, pilihan raya yang bakal diadakan di Myanmar mesti dilaksanakan secara adil, telus dan inklusif, agar semua rakyat diberi peluang menyertainya.

Isu-isu berbangkit itu akan dibawa ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada lusa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI