IPOH, 24 Oktober- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaksanakan pelepasan air terkawal ke Sungai Kurau mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan Pelan Tindakan Kecemasan (EAP) bagi memastikan keselamatan struktur Empangan Bukit Merah serta kawasan hiliran.
Tindakan itu diambil susulan paras air empangan tersebut meningkat ke tahap bahaya berikutan hujan berterusan di kawasan tadahan sejak beberapa hari lalu.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pelepasan air berjadual itu penting bagi mengawal paras empangan agar kekal selamat.
Menurutnya, pemantauan rapi dilaksanakan di kawasan hiliran dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kerian akan diaktifkan sekiranya terdapat risiko banjir.
Pada 23 Oktober lalu, Stesen Pondok Tanjung merekodkan hujan sebanyak 259 milimeter, manakala Stesen Sungai Kurau Batu 14 mencatat 184 milimeter.
Kadar aliran air meningkat daripada 61.8 meter padu sesaat kepada 200 meter padu sesaat hanya dalam tempoh tiga jam, menyebabkan paras empangan naik daripada 28.65 kaki kepada 30 kaki — paras bahaya yang direkodkan pada pukul 6.00 pagi tadi.
Orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, jelas Mohammad Nizar.