fb fb fb fb fb

Garis panduan baharu pengurusan sisa pepejal di peringkat akhir - KPKT

(Foto hiasan/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Malaysia dalam usaha membangunkan garis panduan baharu pengurusan sisa pepejal yang kini di peringkat akhir bagi memperkukuh elemen ekonomi kitaran juga menangani isu berkaitan pengurusan makanan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kementeriannya turut menjalin kerjasama dengan kerajaan Jepun sekali gus akan menyemak semula Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Langkah itu bagi memperkukuhkan elemen ekonomi kitaran secara keseluruhan selain menangani isu pembaziran makanan," katanya ketika menjawab soalan Ahli parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dalam sidang dewan rakyat hari ini.

Jelas Reezal, akta semasa hanya terhad kepada industri dan sektor pembuatan makanan tertentu di tujuh buah negeri sahaja.

Justeru, semakan semula akta tersebut dapat memantapkan lagi pengurusan sisa makanan supaya ianya lebih sistematik selain dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Sebagai permulaan, kementerian ini (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar Jepun (MOEJ) sedang membangunkan garis panduan pengurusan sisa makanan. Dengan kerjasama ini, kementerian akan turut mencontohi kejayaan negara tersebut dalam mewujudkan perundangan khusus yang menyokong pengurusan sisa makanan yang lestari," katanya sebagai menjawab soalan Che Alias yang bertanya mengenai hasrat kementerian untuk mewujudkan satu akta berhubung dengan isu pembaziran makanan di Malaysia yang setiap tahun semakin membimbangkan.

Reezal turut menjelaskan bahawa ke semua inisiatif yang dilaksana itu adalah seiring dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan separuh sisa makanan global per kapita menjelang tahun 2030.


(Reezal Merican dalam sidang Dewan Rakyat hari ini)

Media Baharu