fb fb fb fb fb

Aspek selenggara bangunan berstruktur tinggi perlu diberi perhatian - JBPM

SEREMBAN, 3 Ogos- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penekanan kepada pematuhan peruntukan undang-undang, keperluan teknikal dan penyelenggaraan baik di dalam bangunan terutamanya bagi bangunan berstruktur tinggi atau “Super High Rise Buiding”.

Mengikut statistik, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan bangunan berstruktur tinggi paling banyak di Asia sehingga mencecah hampir 1,000 bangunan pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, penglibatan semua pihak perlu terutamanya agensi keselamatan dan pemain industri terlibat dalam usaha mengekang berlakunya kejadian kebakaran melibatkan bangunan berstruktur tinggi.

"Jadi, dengan ketinggian seperti ini kelengkapan untuk strategi keselamatan kebakaran di dalam bangunan perlu lebih baik selain strategi pertahanan keselamatan kebakaran juga perlu mantap. Ini kerana langkah pemadaman api luaran tidak lagi berkesan," kata beliau selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 'Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan' Peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Tambahnya, setakat ini Malaysia mencatat kedudukan baik bagi kes melibatkan kebakaran bangunan berstruktur tinggi berikutan pematuhan kod piawaian dan penyelenggaraan baik oleh pengurusan bangunan.

Oleh sebab itu, penyelenggaraan peralatan menentang kebakaran di dalam setiap bangunan adalah penting sekali gus bagi mengelak insiden yang boleh meragut nyawa penghuni bangunan.


(Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid meluangkan masa melihat ruang pameran
yang disediakan selepas merasmikan seminar di ibu negeri)

Media Baharu