KUALA LUMPUR, 5 Januari - Kelewatan jadual perjalanan Perkhidmatan MRT Laluan Kajang pagi ini disebabkan masalah teknikal di Stesen MRT Phileo Damansara.
Rapid Rail Sdn. Bhd. selaku operator perkhidmatan MRT menjelaskan masalah itu berpunca daripada salah sebuah tren bernombor 22 telah mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan.
"Kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan pasukan teknikal Rapid Rail dan pihak Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna akibat kelewatan jadual perjalanan," menurut kenyataan tersebut.
Pihak Rapid juga telah mengaktifkan pelan servis alternatif, dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan.
Pengguna dari arah Kawasan Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sebaliknya pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara.
Servis alternatif itu akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal.