fb fb fb fb fb

Gangguan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling di antara dua stesen, Stesen Bandaraya, Masjid Jamek

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling mengalami gangguan di antara dua stesen iaitu Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek, akibat penjajaran landasan yang bengkok (“kinked”) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Ini adalah disebabkan oleh keretakan struktur jejambat di kawasan tersebut.

Menerusi kenyataan, Rapid Rail berkata keputusan untuk menghentikan perkhidmatan di antara dua stesen tersebut dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan.

"Buat masa ini, siasatan ke atas kekukuhan dan keselamatan struktur jejambat serta punca sebenar sedang dijalankan oleh pihak kejuruteraan Rapid Rail bersama jurutera dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Siasatan dan pemerhatian awal pihak APAD mendapati terdapat sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367]", menurut kenyataan itu.


(Foto hiasan)

"Namun demikian, kepastian ke atas punca sebenar serta keselamatan dan kekukuhan struktur jejambat masih lagi disiasat sebelum sebarang keputusan untuk mengembalikan perkhidmatan kepada normal dapat dibuat.

Sementara itu, pihak Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan tren alternatif telah pun diaktifkan.

"Tren-tren dari Stesen Putra Heights dan Stesen Ampang berpatah balik di Stesen Hang Tuah, sementara tren-tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya.

"Perkhidmatan tren perantara atau ulang-alik di antara Stesen Hang Tuah dan Stesen Masjid Jamek diaktifkan.

"Perkhidmatan bas alternatif telah dilancarkan dengan 23 buah bas bagi menampung
penumpang-penumpang:
o Stesen Bandaraya ke Stesen Plaza Rakyat
o Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya
o Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya
o Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur
o Stesen Hang Tuah ke Stesen Bandaraya
o Stesen Bandaraya ke Stesen Hang Tuah

Pihak Rapid Rail memohon maaf di atas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami oleh para penumpang.

Media Baharu