KOTA KINABALU, 16 September - Lebih 50 kawasan di sekitar Penampang, Inobong dan Moyog mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kejadian tiang tumbang akibat tanah runtuh.
Turut terjejas Kampung Babagon, Babagon Dam, Kampung Moyog, Klinik Desa Moyog, Kampung Tudan dan Kampung Togudon selain beberapa sekolah, klinik kesihatan serta premis perniagaan.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan lain yang terlibat termasuk Jalan Datuk Panglima Banting, Taman Prima Sumundu, Jalan Lama Penampang-Tambunan, Kampung Kolopis, Kampung Inobong serta Taman Vista Kirana.
“Pihak kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan secara berperingkat susulan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan tiang elektrik tumbang,” menurut kenyataan itu.
SESB berkata pihaknya menghargai kesabaran pelanggan sepanjang proses pemulihan dijalankan dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami.