fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan air berjadual di Seberang Perai Disember ini

(Foto hiasan)

SEBERANG PERAI, 23 November- Kawasan Seberang Perai Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam bermula 2 hingga 4 Disember ekoran Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan menghenti tugas sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

PBAPP dalam kenyataan memaklumkan henti tugas sebahagian LRA Sungai Dua itu bagi membolehkan kerja-kerja penggantian injap berdiameter 1350mm dan 1200mm yang rosak di loji tersebut dapat dilaksanakan.

"Selain penggantian injap itu, PBAPP akan turut menjalankan kerja-kerja lain pada masa yang sama bagi mengelak gangguan bekalan air berulang di kawasan yang sama jika ia dijalankan secara berasingan," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi meminimumkan kesulitan pengguna yang terjejas, PBAPP bersama-sama dengan Pasukan Bomba Sukarela akan menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki selepas 12 jam gangguan bekalan air berlaku.

PBAPP memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan menasihatkan orang ramai agar menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan semasa gangguan air 48 jam tersebut.

"Sila hubungi Pusat Panggilan PBAPP di talian 04-255 8255 untuk sebarang pertanyaan," menurut kenyataan itu.

(Foto FB PBAPP Penang)

Media Baharu