
LANGKAWI, 28 Julai- Gangguan bekalan air dan peluang pekerjaan yang terhad terus menjadi antara keluhan utama penduduk Pulau Langkawi yang disuarakan kepada Anak Muda MADANI Kedah bagi mendapatkan perhatian pihak berkaitan.
- Aduan lain termasuk kerosakan jalan, baik pulih rumah, bencana, bantuan kebajikan dan tekanan kos sara hidup.
- Setiap aduan akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan supaya tindakan sewajarnya diambil.
- Datuk Zuraidi berjanji terus turun padang, mendekati rakyat dan menjadi penghubung dengan agensi kerajaan.
Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata selain dua isu berkenaan, beliau turut menerima aduan berkaitan kerosakan jalan, keperluan baik pulih rumah, bencana, bantuan kebajikan serta tekanan kos sara hidup yang dihadapi penduduk.
Menurut beliau, setiap aduan yang diterima akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Saya akan terus turun padang, mendekati rakyat dan berusaha membawa segala isu serta keperluan yang dibangkitkan kepada pihak berkaitan agar mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Taman Wawasan Indah di Ulu Melaka, di sini pada Isnin.
Beliau berkata pendekatan turun padang akan diteruskan bagi membolehkan pihaknya memahami sendiri cabaran yang dihadapi masyarakat setempat, di samping menjadi penghubung antara rakyat dengan agensi kerajaan.
Datuk Zuraidi turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang hadir dan menjayakan program berkenaan.
“Setiap pandangan yang dikemukakan merupakan input yang amat bernilai dalam usaha kita bersama membina komuniti yang lebih harmoni, sejahtera dan maju,” katanya.