fb fb fb fb fb

Galeri Seni Lin Xiang Xiong dibuka, perkukuh Pulau Pinang sebagai hab seni antarabangsa

Pengasas Galeri Seni Lin Xiang Xiong, Prof Lin Xiang Xiong (dua, kiri) memberi penerangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan), dan bekas Perdana Menteri Perancis merangkap pengasas Leaders for Peace, Jean-Pierre Raffarin (kiri) pada perasmian galeri berkenaan hari ini/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 14 Disember - Tarikan mercu tanda baharu di Pulau Pinang kini tertumpu kepada Galeri Seni Lin Xiang Xiong yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, pagi tadi.

Galeri dengan reka bentuk penyu lapan tingkat itu menempatkan lebih 1,000 karya dengan lebih 400 hasil seni yang dipamerkan dalam satu-satu masa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembukaannya juga selari dengan visi Penang 2030 yang menekankan aspek kreativiti, pendidikan dan ikatan komuniti yang kukuh.

"Kini, ia menjadi mercu tanda budaya baharu bagi Pulau Pinang, tempat seni dan budaya berkembang secara semula jadi. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun dalam waktu yang sukar, kemanusiaan sentiasa mencari keharmonian. Semangat yang sama turut dapat dirasai di galeri ini. Ruang ini menggalakkan semua pihak, artis, pelajar, keluarga serta para pengunjung untuk melihat seni bukan sekadar sebagai sesuatu yang indah, tetapi sebagai satu bentuk perbualan," kata beliau ketika berucap merasmikan Galeri Seni Lin Xiang Xiong di Gelugor, di sini hari ini.

Pameran itu menampilkan pelbagai naratif visual serta refleksi kemanusian yang sesuai dengan pelbagai peringkat usia.

Ia turut dilengkapi dengan pusat pendidikan seni, ruang pameran tetap, dewan pameran khas serta bilik persidangan kolaborasi antarabangsa.

Sempena pembukaan rasmi, galeri itu menampilkan pameran khas bertajuk “Picasso and Lin Xiang XIong: A Dialogue Across Time”.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN