fb fb fb fb fb

269 pesawah seliaan KADA rugi lebih RM2.3 juta akibat banjir

Foto RTM

KOTA BHARU, 14 Disember - Seramai 269 pesawah Kelantan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kerugian lebih RM2.3 juta selepas tanaman padi mereka tenggelam akibat banjir gelombang pertama pada Monsun Timur Laut (MTL) bulan lepas.
 
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, kawasan terjejas membabitkan keluasan 741.78 hektar sawah padi dengan kerosakan berlaku ketika usia tanaman sudah melebihi 70 hari.

"Alhamdullilah sejak tahun lepas kita memang kempen untuk semua petani mendaftar di bawah skim takaful dan oleh kerana itu kita telah membantu untuk membuat tuntutan ganti rugi daripada skim takaful itu, RM3,000 setiap hektar," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Jasamu Dikenang 2025, di sini hari ini.
 
Menurut beliau, kadar pendaftaran skim takaful dalam kalangan 7,200 pesawah kini mencecah hampir 90 peratus dengan caruman skim ditanggung kerajaan berjumlah RM50 juta.
 
Dalam pada itu, Khalid memaklumkan usaha mengurangkan risiko banjir berulang dilakukan melalui kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem pengairan sepanjang 58 kilometer saliran dengan peruntukan RM700,000.
 

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN