MIRI, 14 Disember – Beberapa kawasan di Daerah Telang Usan, Miri, Sarawak masih terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan yang bertembung dengan fenomena air sungai pasang besar sejak 10 November lalu.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri, yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Telang Usan, setakat pukul 4.00 petang, banjir melibatkan Long Bemang, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang serta Klinik Kesihatan Long Bemang.
Foto FB APM Marudi
Di Long Bemang, sebanyak 103 buah rumah dengan 548 penduduk terjejas apabila paras air direkodkan setinggi kira-kira 0.37 meter, dan dilaporkan masih menunjukkan trend menaik.
Sementara itu, keadaan di SK Long Bemang menunjukkan paras air sekitar 0.64 meter dan dilaporkan menurun, melibatkan 135 orang kakitangan.
Bagi Klinik Kesihatan Long Bemang, paras air dicatatkan sekitar 0.05 hingga 0.10 meter, melibatkan empat orang kakitangan.