BUKIT MERTAJAM, 14 Disember - Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi setiap tahun secara berterusan, termasuk pengisian segera kekosongan bagi menangani masalah tersebut sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kadar pengisian guru ketika ini adalah sebanyak 98 peratus serta pelantikan guru baharu kira-kira 52,948.
“SPP memberikan sokongan penuh kepada KPM bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi setiap tahun secara berterusan, bermakna kekosongan diisi segera supaya masalah kekurangan guru dapat ditangani sepenuhnya.
"Kedua, isu sekolah daif juga merupakan usaha berterusan di peringkat kementerian dan menjadi antara agenda besar kerajaan, bersama JKR (Jabatan Kerja Raya), bagi memastikan masalah sekolah daif khususnya di Sabah, Sarawak dan seluruh Malaysia dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di sini.
Tambahnya, kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan berkaitan dasar wajib pendidikan sekolah menengah mencerminkan komitmen dan tanggungjawab kerajaan.
"Selain itu, Rang Undang-Undang Pendidikan berkaitan dasar wajib pendidikan sekolah menengah yang telah dibawa ke Parlimen dan diluluskan menunjukkan semua pihak bersama-sama memastikan komitmen terhadap dasar wajib sekolah menengah ini menjadi sebahagian besar daripada tanggungjawab kita,” katanya lagi.
Selain itu, beliau juga optimis dalam memastikan tiada kelas ditinggalkan tanpa guru mengajar subjek sebenar, sekali gus membuktikan kejayaan tiga tahun reformasi ekosistem pendidikan negara.