fb fb fb fb fb

Gaji penjawat awam di Selangor naik

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini./ BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Mei- Kerajaan Selangor mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam di negeri ini selaras dengan pengumuman kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pelarasan itu akan dilaksanakan selepas mendapat pekeliling berhubung kenaikan gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan.

"Gaji penjawat awam di Selangor saya akan selaraskan semula setelah pekeliling dikeluarkan. Setakat ini, pekeliling belum dikeluarkan dan sudah pasti kerajaan negeri akan melaraskan semua gaji penjawat awam negeri ini," katanya ketika sidang media di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ujarnya, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menyelaras dengan tatacara kewangan sedia ada.

Tambah Amirudin, peningkatan gaji di peringkat negeri Selangor harus menjadi dorongan kepada seluruh penjawat awam bahawa produktiviti kerja wajar sentiasa diperkukuh selaras dengan harapan rakyat yang tinggi bahawa sistem perkhidmatan kerajaan sentiasa ditingkatkan.

Justeru katanya, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman kadar kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berkuatkuasa mulai Disember tahun ini.

"Pengumuman Perdana Menteri yang melibatkan gaji sektor awam wajar juga disambut oleh sektor swasta agar tangga gaji dan pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat.

"Peningkatan gaji menjadikan negara antara berpendapatan di rantau ini sekali gus mengatasi cabaran kos sara hidup yang meningkat terutamanya di negara-negara maju," katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

ZEHRA BINTI ZAMBRI