KUALA LUMPUR, 3 Mei- Pelabur atau individu yang mengalami kerugian selepas terjebak dengan sindiket penipuan pelaburan, tidak akan menerima kembali wang tersebut walaupun melalui proses perundangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata menerusi laporan media pada 24 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM1.11 juta daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.
Beliau berkata panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengarahkan wang tersebut dilucut hak kepada hasil kerajaan.
"Berdasarkan hujahan, wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram. Oleh yang demikian, wang yang didepositkan oleh pihak ketiga turut dicemari. Justeru, responden tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan," kata Datuk Seri Ramli kepada pemberita dalam sidang media JSJK di ibu negara.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan apa jua skim pelaburan tidak berdaftar khususnya yang diiklankan melalui media sosial dan seumpamanya.
Sementara itu, sebanyak 10,106 kes jenayah komersial direkodkan sejak Januari hingga 28 April melibatkan kerugian lebih RM866 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu bersamaan dengan purata 85 kes sehari.
Beliau berkata jumlah kes itu mencatatkan penurunan 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, namun nilai kerugian meningkat sebanyak 62.1 peratus.
"Daripada aspek pertuduhan, sejumlah 4,880 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 28 April 2024."
"Jumlah ini adalah bersamaan 48 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2024. Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus," tambahnya.