KUALA LUMPUR, 3 Mei - Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media di negara ini sempena Hari Kebebasan Media Sedunia.
Fauzi mengucapkan terima kasih kepada wartawan dan pengamal media kerana menjadi tonggak utama dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Terima kasih kepada para pengamal media di seluruh Malaysia kerana menjadi tonggak utama dalam menyiarkan informasi terkini dan sahih kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada 3 Mei setiap tahun merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day).
Berdasarkan laporan tahunan yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), Malaysia berada di kedudukan 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024.
Laporan itu menilai kebebasan media di 180 negara yang meletakkan negara pada 52.07 mata berbanding 62.83 mata pada tahun lalu.
Dalam kalangan negara jiran, Thailand menunjukkan peningkatan, naik ke tangga ke-87, menjadikannya negara dengan kebebasan media paling tinggi di rantau Asean.