KUALA LUMPUR, 19 Februari - Majikan disaran menyediakan pakej menarik dalam menggajikan pekerja memandangkan trend gaji terkini mencecah lebih RM1,200 dan RM1,500.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata ini kerana orang ramai khususnya golongan rentan lebih berminat untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig dan bekerja dari rumah memandangkan ia lebih mendatangkan pendapatan lumayan.
"Melalui gig ekonomi mereka boleh menerima RM1,500 hingga RM2,000 maka hari ini majikan perlu menyediakan satu pakej yang menarik walaupun gaji minimum kita RM1,200.
"Janganlah majikan hanya melihat kepada RM1,200 sebab hari ini rakyat khususnya golongan terjejas sudah mula melihat lebih daripada RM1,200 melalui gig ekonomi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Katanya, antara perkara yang boleh dinilai bagi pakej gaji tersebut termasuk dari segi bakat dan pencapaian pekerja.