KUALA LUMPUR, 19 Februari - Koordinasi antara Pusat Darah Negara (PDN) dengan pihak Hospital perlu terus dipergiat.
Ia bagi menjamin bekalan darah sentiasa mencukupi sekaligus mempersiapkan institusi kesihatan menampung 50,000 kes pembedahan bukan COVID-19 yang tertunggak.
Jelas Pakar Perubatan Transfusi Pusat Darah Negara, Dr. Azmanira Aziz langkah tersebut bagi memastikan stok darah yang dibekalkan selari dengan keperluan hospital.
"Kita akan pastikan stok darah itu adalah selari dengan permintaan darah yg diperlukan jadi pihak klinikal sedia maklum bagi kes-kes yang memerlukan darah mereka akan maklumkan kita lebih awal khususnya kes-kes yang melibatkan kes darah ganjil.
"Ini kita kena bersedia, kita akan pastikan darah sentiasa ada jadi kita akan lakukan koordinasi untuk pastikan bekalan darah ini akan jadi lebih efektif," katanya kepada RTM.
Untuk itu, Dr. Azmarina menyeru orang ramai untuk bersama-sama menderma darah di PDN terdekat bagi memastikan bekalan darah mencukupi.
Bagi Lembah Klang, PDN memerlukan 500 hingga 600 beg darah sehari, dengan keseluruhan 2,000 unit untuk seluruh negara.