fb fb fb fb fb

Pembukaan sempadan negara dijangka awal suku kedua tahun ini -Khairy

BATU PAHAT, 19 Februari - Pintu sempadan negara dijangka akan dibuka sepenuhnya pada awal suku kedua tahun ini selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi masa dua minggu kepada beliau dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan.

"Ini tidak bermakna sempadan negara akan dibuka dalam masa dua minggu lagi, kerana perkara tersebut perlu dibincangkan di beberapa peringkat terlebih dahulu,"katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini.

Jelas Khairy, garis panduan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri COVID-19 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

"Saya jangka mungkin suku tahun kedua adalah satu garis masa realistik, tetapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang menentukannya nanti,” katanya.

Tambahnya, garis panduan pembukaan semula sempadan negara akan mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan pemulihan ekonomi.

Media Baharu