IPOH, 7 Oktober - Skim gaji permulaan bagi jawatan anggota polis berpangkat konstabel dicadang dinaikkan kepada RM1,500.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia selaras dengan gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, ketika ini gaji permulaan bagi jawatan itu adalah sebanyak RM1,441.
"Buat masa ini konstabel baharu yang keluar gajinya adalah RM1,441 dan kita memohon supaya gaji minimum ini dilaksanakan kepada anggota berpangkat konstabel kita," katanya.
Razarudin ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Biro kawalan Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas (KDNKA) di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta, di sini.
Dalam pada itu, Razarudin berkata pihaknya juga turut mencadangkan kenaikan 30 peratus daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) anggota.
Julai lalu, Razarudin dilaporkan berkata gaji dan keperluan anggota polis akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan.