fb fb fb fb fb

Gagal patuhi aspek kebersihan, lebih 1,000 premis diarah tutup

(Foto Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia)

PUTRAJAYA, 24 September- Sebanyak 43,107 premis atau 94.8 peratus daripada 45,467 premis yang diperiksa di seluruh negara sejak Januari hingga Ogos tahun ini mematuhi tahap kebersihan ditetapkan bagi pengendalian makanan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Lukanisman Awang Sauni, sepanjang tempoh berkenaan juga sebanyak 1,097 premis telah diarah tutup kerana gagal mematuhi aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

Jelasnya, bagi tempoh 2020 sehingga Ogos lepas sebanyak 235,245 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara.

Sebanyak 4,767 atau 2.03 peratus diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati tidak bersih.

"Selain daripada itu, 58,675 kompaun atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan di bawah peraturan-peraturan makanan 2009 bagi tempoh sama.

"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menerajui serta memperkukuh kawalan keselamatan negara bersama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan rakyat menikmati makanan sihat dan berkualiti," katanya kepada pemberita pada sidang media program Apron Walk 2023 yang dianjurkan sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Sambutan Ulang Tahun Codex Alimentarius Commission atau Hari Codex ke-60 di sini.

Selain itu, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 294 kes keracunan makanan dilaporkan dengan 76 daripadanya melibatkan kejadian di premis sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

KKM kini bekerjasama dengan pihak KPM dalam sebuah program untuk membuat pemantauan dan memberikan khidmat nasihat berhubung aspek kebersihan penyediaan makanan di premis pendidikan.


(Foto Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia)

Media Baharu