(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat,
hari ini)
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Penalti sebanyak RM4.72 juta dikenakan kepada beberapa syarikat penerbangan antara tahun 2018 hingga Januari lalu, oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berikutan kegagalan mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016.
Jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kegagalan syarikat penerbangan menyediakan penjagaan dan keperluan selepas penerbangan dibatalkan atau ditunda, menjadi antara punca dikenakan penalti.
"Kementerian Pengangkutan melalui MAVCOM pada 5 Januari 2023 telah mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk memperkukuhkan pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan.Ini bertujuan untuk menambah baik komunikasi kepada penumpang, serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan dalam MACPC 2016.
(Foto fail)
"Sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, MAVCOM boleh mengenakan penalti kewangan tidak lebih RM200,000, dan ketidakpatuhan kedua atau seterusnya amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama," kata beliau ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Berhubung harga tiket syarikat penerbangan, Kementerian Pengangkutan melalui MAVCOM akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah.
Tambahnya lagi, penerbangan tambahan juga disediakan bagi musim perayaan seperti AirAsia juga menyediakan 62 penerbangan tambahan dari 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.