JOHOR BAHRU, 9 Mac - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor adalah seramai 44,463 orang setakat pukul 10 pagi tadi.
Jumlah itu melibatkan 12,581 keluarga yang masih berada di 183 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataannya memaklumkan Batu Pahat kini merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 36,099 daripada 9,835 keluarga berada di 106 PPS.
Diikuti Muar dengan 4,094 penduduk di 21 PPS, Tangkak dengan 2,436 di 20 PPS dan Segamat dengan 1,444 di 24 PPS.
Daerah-daerah lain yang turut terjejas adalah Mersing, Kluang dan Kota Tinggi.
10 sungai di tiga daerah iaitu Segamat, Muar dan Batu Pahat diletakkan bawah kategori paras air berbahaya.
Sebanyak 41 jalan utama masih ditutup, antaranya 15 jalan di Batu Pahat, sembilan di Segamat , tujuh jalan di Muar dan satu jalan di Kota Tinggi.