ALOR SETAR, 9 Mac- 41,000 liter minyak diesel bernilai lebih RM88,150 dirampas dalam operasi di sebuah premis di kawasan perindustrian Mergong, di sini.
Operasi dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Kuala Kedah, sebelum kes diserahkan kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk tindakan lanjut.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, dalam operasi itu, "PPM menemui sebuah lori tangki serta dua tangki skid yang mengandungi 41,000 liter minyak diesel."
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan.
Selain minyak diesel, lori tangki dan dua tangki skid; "PPM turut menyita peralatan lain seperti pam minyak sebanyak tiga unit dan pam sebanyak enam unit yang disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel berkenaan," katanya.
(Lori tangki disita dalam operasi di premis kawasan perindustrian Mergong)
Seorang pemandu lori tangki berusia lingkungan 60-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM126,150.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Bagaimanapun, KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan.
Tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa pihak terlibat di mahkamah berdasarkan peruntukkan undang-undang dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).