fb fb fb fb fb

Gagal berhenti ketika ditahan Pegawai JPJ, pemandu boleh dipenjara enam bulan

Foto RTM

ARAU, 18 April- Pemandu kenderaan diingatkan agar mematuhi arahan berhenti semasa ditahan oleh anggota penguat kuasa JPJ di sekatan jalan raya yang dilaksanakan di jalan utama seluruh Perlis.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataanya menegaskan,kegagalan mematuhi arahan untuk memberhentikan kenderaan apabila diarahkan oleh anggota penguatkuasa JPJ adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan mengikut Seksyen 119 akta yang sama.

Beliau memaklumkannya semasa pemantauan Operasi Khas Musim Perayaan Bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di jalan Jejawi Permatang, di sini.

Peringatan tegas berkenaan diberikan susulan ramai penunggang motosikal yang gagal berhenti apabila diarahkan oleh anggota penguat kuasa JPJ yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Dalam operasi ini, sebanyak 250 buah motosikal telah diperiksa dan 70 Notis Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada penunggang motosikal serta turut menyita tiga buah motosikal bagi kesalahan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD